DUGAAN
HIDUP
Hidup ini indah..andai kita memandang
dan melihatnya dengan indah..Hidup ini derita..andai kita
memandangnya sebagai satu penderitaan yang tak berkesudahan..
Bila diri di landa duka yang melemahkan iman dan semangat..
Renungkan kembali kata-kata cinta Allah tentang kenapa kita diciptakan
di bumi ini..
Demi menenangkan hati yang celaru..
Demi mencari kembali hakikat tujuan kita diciptakan..
Supaya kita sedar akan tugas yang perlu kita laksanakan di muka bumi ini..
Dan tidak
akan lalai dengan apa yang selainnya di dunia ini..
“ Dan tidak AKU menciptakan jin dan
manusia..melainkan hanya untuk beribadah kepada AKU “( Adz-Dzariyat 51:56 )
“Apakah manusia itu mengira bahawa
mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak
diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,
maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia
mengetahui orang-orang yang dusta..”
( Al-Ankabut, ayat 2 & 3 )
Sering kali kita terdengar luahan
rasa insan-insan yang berputus asa ketika diuji. Ada ketikanya, mereka mencari
penyelesaian yang salah, mencederakan diri sendiri, menyakiti diri sendiri,
menyeksa diri sendiri dan seumpamanya.Ada jua yang sering menyalahkan takdir
yang menimpa diri, mengatakan ketidakadilan terjadi terhadap mereka, memikirkan
tiada yang menyayangi diri mereka, termasuklah Allah yang difikirkan tidak
pernah memihak pada kehendaknya.Ada jua yang memikirkan mati jalan penyelesaian
bagi penderitaan yang dihadapi. Pabila iman di dada semakin tipis, aqidah yang
dipelajari sedari kecil semakin pudar, yang tinggal hanya desakan nafsu dan
hasutan syaitan. Inilah yang akan terjadi.
Ini bukan sekadar kata-kata kosong. Kata-kata yang tidak memahami tapi
adalah kata-kata dari kisah yang benar. Kerana diri ini jua pernah mengalaminya
dan melihatnya sendiri sewaktu ketika dahulu. Mujur, saat dugaan datang
menyapa, iman diri walaupun menipis, masih lagi ada saki baki iman kekal teguh
di jiwa yang menghindarkan dari melakukan perkara-perkara yang buruk.
TINDAKAN ANDA KETIKA MENGHADAPI UJIAN
HIDUP?
BUNUH DIRI ATAU SOLAT TAUBAT?
MENANGIS dan MERAUNG ATAU BERDOA?
Menangis, meraung, marah, mengamuk benda yang selalu dilakukan untuk
mengekspresikan rasa di dalam hati. Tapi percayalah, air mata yang jatuh di
atas sejadah itu lebih baik dari air mata yang jatuh di atas bantal. Mendiamkan
diri itu lebih baik dari memaki hamun. Tersenyum itu lebih baik dari muka yang
masam mencuka. Kerana itu lebih mententeramkan jiwa yang sedang bergelora.
Janganlah cepat berputus asa dalam meniti ujian yang mendatang.
Janganlah mencari salah siapa atas dugaan yang menimpa. Redhakan lah diri.
Lapangkan hati. Bukakan lah minda. Terima ketentuan setiap yang terjadi.
Yakinlah dengan setiap hikmah yang ada. Kukuhkan lah kesabaran dalam jiwa.
“Janganlah kamu berputus asa daripada
rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala
dosa. Sesungguhnya dialah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani..”(Az-Zumar
40:53)
Teringat satu ketika dulu, pabila diri dihimpit dengan rasa sedih yang
teramat sangat, waktu itu hanya air mata jadi peneman yang setia. Tak
berhenti-henti tangis dari pagi sampai malam. Sehingga menyebabkan mata tak
dapat dilelapkan, makanan tak dapat ditelan.
Tiba-tiba hati tergerak dan terasa ingin mengambil wuduk. Lalu langkah
kaki diatur menuju ke surau yang berdekatan. Surau yang jarang di imarahkan.
Surau yang sunyi sepi tanpa ada seorang manusia pun di dalamnya. Sejadah
dibentang. Lalu solat sunat dilaksanakan. Tangan ditadahkan. Segalanya diadukan
kepada-Nya. Hati diserahkan 100% dan dihadapkan kepada-Nya.
Air mata tumpah sekali lagi. Dan air mata itu berhenti tatkala tertidur
di atas sejadah itu dengan diri yang masih lengkap bertelekung. Bila terjaga
dari tidur, hati terasa lapang, tenang, kegelisahan yang melanda hilang begitu
sahaja. Bibir sudah mampu mengukirkan senyuman. Keputusan terhadap permasalahan
diambil dengan mudah dan tegas tanpa ada apa-apa yang mampu mengugat keyakinan
diri lagi. Tatkala itu hidayah mula datang mengusik hati nurani. Diri mula
sedar akan hakikat kata-kata yang sering didengar..
Dengan mengingati Allah, jiwa pasti akan menjadi tenang”
Dugaan dan ujian itu
adalah penyeri kehidupan kita. Itulah hakikatnya. Tersenyumlah ketika dirimu
diuji. Kerana ketahuilah, dengan diuji, kita tahu bahawa Allah masih mengambil
berat tentang kita. Tak mengabaikan kita dan menyayangi kita. Lalu kita diuji
untuk Dia mengetahui tahap keimanan diri kita terhadap-Nya. Untuk Dia ketahui
tahap kita mencintai-Nya. Ujian jua untuk menguji kesabaran kita dalam
menghadapi musibah yang menimpa.
Tanpa
ada ujian, tiadalah serinya hidup kita. Terasa pudar dan hambar tanpa ada
sebarang cabaran untuk kita hadapi. Kegembiraan itu hanya dapat dirasai apabila
kesedihan berlalu. Bahagia itu datang pabila derita dapat diatasi. Dugaan dan
ujian ini juga untuk mengajar kita supaya berfikir dan menjadi lebih kuat dan
tabah dalam menjalani kehidupan harian di dunia ini.
Betapa
halus cara Allah mendidik kita agar kita tak terleka dalam menghadapi dunia
yang fana ini. Carilah hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap kejadian
kerana yakinlah dugaan yang datang bukan untuk menghukum tetapi untuk
membimbing diri kita. Jadi jelaslah sekarang cara yang paling sesuai ketika
menghadapi dugaan hidup adalah menyerahkan hatimu kepada Allah. Mohonlah
perlindungan dan bantuan-Nya. Kerana Allah itu Maha Mendengar dan Maha
Mengetahui segala yang tersirat di dalam nuranimu. Allah jua yang mampu membantu
kita kerana Allah itu Maha Berkuasa.
SUMBER :
www.iluvislam.com/inspirasi/9627-dugaan-hidup.html